Neelofa, suami sengaja cetus kontroversi rentas negeri?

107

3 MEI: Pelakon dan pengacara terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya  Haris Ismail atau PU Riz sekali lagi mencetuskan kontroversi terbaharu apabila selebriti berkenaan didakwa memuat naik video menunjukkan seolah-olah mereka merentas negeri dengan berkunjung ke kedai permaidani yang terletak di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Dalam video yang berdurasi 15 saat yang dikatakan dirakamkan oleh Neelofa sendiri yang memaparkan perbualannya dengan seorang lelaki dipercayai ‘pemilik Naeem Carpet’ bagi tujuan mempromosikan kedai permaidani berkenaan:

Suara dipercayai Neelofa: Bos yang cukup baik ni…

Lelaki pekedai: Terima kasih banyak

Suara dipercayai Neelofa: Datang dekat mana

Lelaki pekedai: Naeem Carpet

Suara dipercayai Neelofa: Di mana?

Lelaki pekedai: Di Nilai 3, Johor, di Jalan Setapak, Brunei… Alhamdulillah

Malah, ramai pengguna akaun Twitter mendakwa melihat Neelofa dan suaminya Haris Ismail atau PU Riz berada di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Seorang pengguna akaun Twitter dikenali sebagai @paedrazid memuat naik kapyen berbunyi ‘Hai hajah @Neelofa. Kat Nilai 3 ke tu cari karpet ke? Eish…rentas negeri? Kuat btol cable?

Namun hasil carian mendapati video itu sudah dipadamkan selebriti itu di Instastory akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan masih trending hingga menjadi perdebatan hangat pengguna media sosial yang mempertikaikan bagaimana selebriti berusia 32 tahun berkenaan merentas negeri.

Sebelum ini Neelofa pernah memohon maaf secara terbuka dan mengakui tidak sensitif isu semasa khususnya berhubung dakwaan pelanggaran SOP majlis perkahwinannya serta kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama suami PU Riz, 26.

Neelofa, suami dan keluarganya kemudian dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang keseluruhannya berjumlah RM60,000 kerana kesalahan melanggar SOP dan merentas negeri.


Pasangan pelakon dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) dan suaminya, Haris Ismail (Pu Riz) masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dipetik sebagai berkata Neelofa dikompaun RM20,000 (tiada diskaun) kerana melakukan dua kesalahan, manakala Pu Riz dikompaun RM10,000 kerana hanya melakukan satu kesalahan.

Kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.


Kesalahan kedua Neelofa adalah melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Manakala, PU Riz pula dikenakan kompaun RM10,000.00 (tiada diskaun dibenarkan) kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh polis.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.