Jangan samakan kedudukan mufti dengan jawatan politik

1,104

3 MEI : Masyarakat tidak seharusnya mengecam atau ‘mengherdik’ mufti hanya kerana pandangan disuarakan agamawan itu tidak selari dengan pemikiran dan kehendak mereka.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata mufti akan mengeluarkan pandangan berhubung perkara bersifat ijtihadi, iaitu tidak ada pandangan sebelumnya atau tercetus pendapat berbeza berhubung isu dibangkitkan.

“Umat Islam dan bukan Islam mesti menghormati alim ulama Islam apatah lagi yang bergelar mufti kerana mereka membuat pandangan bersifat ijtihadi , malah jangan samakan kedudukan mufti dengan jawatan lain seperti politik.

“Bacalah pandangan disuarakan mufti itu dengan teliti dan selagi mana kenyataannya didasari dengan nas nas, janganlah kita menyanggahnya,” katanya ketika dihubung PN BBC Portal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kecaman diterima Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, selepas mengatakan hukum melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri seperti ditetapkan kerajaan adalah haram.

Menerusi pandangan diberikan Luqman secara maya terbabit pada satu program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini, beliau mengatakan asas kepada hukum itu perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Hadis itu, katanya, menyebut supaya manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran wabak penyakit, manakala individu sedia berada di tempat terbabit, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

Zainul Rijal berkata, jawapan diberikan mufti itu jelas bahawa hukumnya haram kerana melanggar perintah ulul amri, malah mungkin membawa kemudaratan.

Jawapan diberikan Luqman itu juga, katanya, bertepatan dengan soalan dikemukakan, iaitu mengenai hukum merentas sempadan tanpa kebenaran kerajaan, bukannya beliau ditanya mengenai judi diluluskan, orang kenamaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) atau masjid ditutup.

“Justeru, janganlah bangkitkan isu lain dan hormatilah beliau sebagai seorang mufti. Itu pandangan beliau, bukan fatwapun, tak akan kita nak mufti jawab semua perkara walaupun tidak ditanyakan, nanti orang kata tanya satu soalan jawab seratus.

“Saya pun selalu terkena macam ini, bila ditanya satu perkara diungkit tidak menjawab perkara tidak disoalkan, tetapi kalau kita jawab soalan yang tak ditanya dalam peperiksaan, mesti kita gagal peperiksaan itu.

“Ada masa nanti tanyalah mufti mengenai soalan lain itu dan kalau beliau mengelak atau memberi jawapan berputar-putar, barulah kita boleh kritik, namun mestilah disulami dengan adab,” katanya.

Pada masa sama, Zainul Rijal berkata, ’kekecohan’ berhubung pandangan mufti itu kemungkinan kerana terdapat agenda merendahkan agamawan disebabkan mahu mempromosi golongan modernis dan liberal.

Katanya, netizen perlu berhati hati dan tidak terikut rentak orang politik yang sentiasa berantakan.

“Jika suatu pandangan itu dihasilkan dengan ilmu, seharusnya dihormati,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.