Undi18 dilaksana Julai ini – Takiyuddin

35

2 MEI: Kerajaan memberi jaminan dasar Undi 18 tahun akan dilaksanakan tahun ini bagi membolehkan rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan dasar itu dijangka dapat dilaksanakan Julai ini.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa yang tepat, tetapi yang pasti dalam tahun ini juga. Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat,” katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan sumbang Aidilfitri kepada imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu di Kelantan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menyokong dan amat komited dalam memastikan usaha meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dapat dilaksanakan.

Ditanya kenapa dasar itu perlu mengambil masa sebelum dilaksanakan, katanya, banyak perkara perlu diambil kira, khususnya aspek perundangan.

“Apabila ada perubahan dari segi polisi, misalnya daripada 21 tahun kepada 18 tahun ini, ada perundangan tertentu yang perlu dipinda dan ditambah baik kerana di bawah pilihan raya itu, ada banyak undang-undang, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pilihan Raya serta ada pertauran mengenai perjalanan pilihan raya dan sebagainya.

“Namun, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan ini. Keduanya pula, isu teknikal juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan, terutamanya SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun), maka bilangan (pengundi) akan bertambah, sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya.”

Mengenai kepentingan meminda Perlembagaan, Takiyuddin berkata, kebanyakan negara sudah mengamalkan had umur minimum 18 tahun sebagai pengundi dan undang-undang di negara ini juga menggariskan usia berkenaan sebagai “age of maturity”.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.