Dr. Mahathir Diberi 7 Hari Mohon Maaf – Khalid

6,772

2 MEI: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan beliau memberi tempoh tujuh hari kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan fitnah dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini.

Khalid berkata beliau berbuat demikian selepas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib’, yang disiarkan menerusi portal The Malaysian Insight (versi Bahasa Malaysia) pada 16 April lalu.

Beliau berkata apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir berkenaan adalah tidak benar dan menjejaskan reputasi dan maruahnya selaku bekas Ketua Polis Negara.

Berikutan itu, Khalid mengarahkan firma guaman Gunaseharan & Linda untuk menghantar notis tuntutan kepada Dr Mahathir bertarikh 22 April lalu bagi menuntut bekas Perdana Menteri ke-7 berkenaan supaya memohon maaf kepada secara terbuka dan menarik balik kenyataannya, sebelum ini.

“Saya beri Dr Mahathir tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik semula kenyataannya, jika gagal saya akan arahkan peguam saya meneruskan tindakan saman kerana menfitnah,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC di sini, sebentar tadi.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal mendakwa beliau akan menfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Dr Mahathir jika bekas Perdana Menteri berkenaan gagal memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah dikeluarkan Ahli Parlimen Langkawi berkenaan dalam masa tujuh hari dari tarikh berkenaan.

Antara kandungan ayat yang didakwa fitnah ialah “Tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh ketua polis negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad.

“Perdana Menteri ketujuh itu mendedahkan demikian sewaktu menjelaskan komunikasi beliau dengan Zeti Akhtar Aziz sewaktu bekas penasihat Kerajaan itu masih menjadi Gabenor Bank Negara”.

Sehubungan itu, Dr Mahathir diminta membuat permohonan maaf secara terbuka serta bertulis dalam portal berita The Malaysian Insight dan laman sosial beliau seperti di Facebook, Instagram dan sebagainya dalam tempoh 7 hari dari tarikh notis tuntutan berkenaan.

Dr Mahathir juga dikehendaki membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan yang sama secara lisan atau bertulis di mana mana saluran media penyiaran.

Tambah notis itu, Dr Mahathir juga dikehendaki menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah berkenaan dan Sekiranya beliau gagal mematuhi segala tuntutan di atas, maka Dr Mahathir akan berhadapan dengan tuntutan RM10 juta.

“Ringgit Malaysia sepuluh juta untuk dibayar kepada anakguam kami sebagai gantirugi yang dialami oleh anakguam kami susulan daripada kenyataan fitnah oleh Tun melalui artikel 16.04.2021,” kata firma guaman Gunaseharan & Linda yang mewakili Khalid.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.