DAP rangka strategi ‘Khemah Besar’-Wan Saiful

115

2 MEI: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, tidak menolak kemungkinan DAP sedang membentuk jajaran baharu politik berkonsepkan ‘khemah besar’ bagi merampas kembali tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN).

Malah Wan Saiful berkata DAP tanpa berlindung mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia kembali menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melalui konsep kerjasama ‘khemah besar’ melambangkan parti itu mempunyai rakan dalam satu jajaran politik baharu.

Beliau berkata kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang DAP adalah ‘kerajaan menanti’ menggambarkan keyakinan parti itu kembali melaksanakan dasar aliran kiri.

“Konsep ‘khemah besar’ ini melambangkan DAP tidak keseorangan. Ada kawan yang mesti bersama dalam jajaran baharu ‘khemah besar’ DAP kerana DAP tidak akan jadi kerajaan jika seorang diri. DAP mesti membentuk jajaran baharu dengan parti lain.

“Soalan saya, siapa yang akan bersekongkol dalam ‘khemah besar’ jajaran baharu yang menjadi strategi DAP ini? Mungkinkah salah satu strategi ‘khemah besar’ ini adalah merahsiakan komposisi dan kesepakatan jajaran baharu sebelum PRU-15 untuk mengelabui mata rakyat tetapi selepas PRU-15, barulah komposisi khemah besar dinyatakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, Chin Tong yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, pada Konvensyen DAP Johor 2021, berkata DAP tidak akan lagi bertanding sebagai parti pembangkang, sebaliknya sebagai parti yang berpengalaman mentadbir kerajaan.

Katanya, DAP perlu bekerjasama dengan parti pembangkang sehaluan, selain memetik idea ‘khemah besar’ dilontarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang disifatkan Chin Tong sangat relevan dalam konteks politik Johor.

Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada strategi memenangkan ‘khemah besar’ DAP adalah dengan cara memecahbelahkan undi Melayu dan menyucikan imej DAP, selain sama ada rakyat mahu melihat pemimpin DAP kembali menjadi Menteri Kewangan atau mungkin Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu katanya, DAP juga dilihat tidak banyak membuat rungutan seperti sebelum ini, namun dalam diam menzahirkan keyakinan yang parti itu adalah kerajaan menanti.

“Mungkinkah peranan merungut itu sudah disumberluarkan kepada ‘kluster merungut’ yang bekerja keras membantu DAP merebut kuasa melalui jajaran baharu ‘khemah besar’ ini.

“Ini adalah soalan yang kita mesti tekuni kerana pemimpin nasional DAP tidak akan bercakap begitu jika mereka tidak ada keyakinan atau tidak ada kesepakatan dengan sesiapa mengenai aturan sebenar jajaran baharu ‘khemah besar’ selepas PRU-15,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.