100,000 individu daftar vaksin AstraZeneca kurang 2 jam

368

2 MEI: Walaupun isu suntikan vaksin AstraZeneca mencetuskan kontroversi global apabila segelintir penerimanya di beberapa negara dilaporkan berdepan kesan sampingan kesihatan, keputusan kerajaan menawarkan pendaftaran imunisasi terbabit secara sukarela kepada rakyat negara ini, menerima sambutan baik.

Berdasarkan tangkap layar terkini menerusi sistem pendaftaran, vaksincovid.gov.my yang diwujudkan kerajaan bagi membolehkan individu membuat janji temu untuk menerima vaksin AstraZeneca ‘tanpa paksaan’, kira-kira 100,000 permohonan direkodkan dalam tempoh kurang daripada 90 minit, malah kebanyakannya menulis ciapan melahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana berjaya mendaftar.

Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi pilihan utama orang ramai menerima vaksin AstraZeneca menerusi hasil dilihat di sistem pendaftaran yang dibuka mulai jam 12 tengah hari tadi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 160,000 slot janji temu, merangkumi empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas masih dibuka kepada individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksin dari United Kingdom (UK) itu.

VAKSIN ASTRAZENECA.

“Masih ada slot AstraZeneca. Trafik (pendaftaran) sangat memberangsangkan, tetapi masih ada kekosongan,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter, @Khairykj, hari ini.

Menerusi ciapan awalnya di laman sosial sama, Khairy berkata pendaftaran secara sukarela dan terbuka bagi vaksin AstraZeneca kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang layak mengambil imunisasi terbabit, bermula jam 12 tengah hari ini.

Katanya, individu yang memohon pendaftaran itu hanya dibenarkan memilih satu tarikh janji temu dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Khas.

Bagi memudahkan urusan permohonan orang ramai, katanya, beliau memuat naik satu paparan tangkap layar sistem pendaftaran melalui vaksincovid.gov.my untuk rujukan mereka, sebelum mengesahkan pendaftaran dilakukan.

“Anda akan lihat jadual menerusi paparan sistem, jadi pilih hanya satu tarikh janji temu dan PPV.

“Sekiranya tarikh janji temu sudah penuh dan bertukar menjadi warna kelabu, anda masih boleh memilihnya untuk diletakkan dalam senarai menunggu bagi tarikh serta PPV sama,” katanya.

Berdasarkan tangkap layar dimuat naiknya itu, sistem permohonan bagi mendapatkan suntikan AstraZeneca menyenaraikan empat PPV khusus.

PPV itu adalah PPV WTCKL; PPV Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC); PPV Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya (UM) dan PPV Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Individu boleh memohon mana-mana tarikh janji temu antara 5 Mei sehingga 5 Jun depan bagi WTCKL, manakala IDCC pula 24 Mei sehingga 6 Jun.

Pilihan tarikh janji temu bagi Dewan 1 Bangunan Peperiksaan UM dan Dewan Gemilang UKM adalah antara 5 Mei sehingga 6 Jun depan.

Ditanya isu segelintir individu sudah selesai membuat permohonan mendapatkan suntikan AstraZeneca lebih awal, Khairy berkata proses dilakukan sebelum jam 12 tengah hari ini tidak akan direkodkan.

“Tadi ada pautan digunakan untuk menguji sistem pendaftaran di sistem itu, justeru sebarang permohonan sebelum jam 12 tengah hari ini tidak akan direkodkan.

“Hanya tempahan selepas jam 12 tengah hari ini direkodkan dan sebaik saja selesai permohonan, individu akan dimaklumkan mengenai butiran tarikh janji temu menerusi MySejahtera, khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di media sosial juga mendapati, masih ada segelintir netizen melahirkan kebimbangan berhubung kesan penggunaan vaksin AstraZeneca, memandangkan ‘kekecohan’ dicetuskan di beberapa negara bahawa imunisasi terbabit menyebabkan masalah kesihatan dan pembekuan darah, sehingga mengakibatkan kematian.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM), baru-baru ini, mengesahkan vaksin AstraZeneca adalah selamat digunakan, termasuk dalam kalangan individu yang berusia 60 tahun ke atas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pengesahan itu turut diperakui panel pakar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV) yang bermesyuarat.

Perkara itu turut disahkan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Institut Kesihatan Negara, Dr Kalairasu Peariasamy yang menegaskan jumlah kes pembekuan darah dalam kalangan penerima, termasuk individu berusia 60 tahun ke atas selepas menerima vaksin AstraZeneca adalah sangat rendah.

Data dikumpul dan dikaji panel terdiri daripada 22 pakar di negara ini, katanya, jelas menunjukkan kebaikan disumbangkan vaksin itu jauh melebihi kemudaratan, terutama berkaitan dakwaan kes pembekuan darah.

Vaksin AstraZeneca bakal digunakan pada Fasa 2 PICK yang sudah dimulakan pada minggu lepas, membabitkan sasaran 9.4 juta penerima dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, iaitu warga emas, golongan rentan berusia 60 tahun ke atas bermasalah morbiditi, seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kelainan upaya (OKU), sebelum diperluaskan ke Fasa 3.

Pada permulaannya, sebanyak 280,000 dos vaksin itu yang sudah diterima Malaysia baru-baru ini, bakal digunakan untuk PICK bersama pelbagai vaksin jenis lain. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.