Tiada rekod wanita bawa ayah ke hospital mohon rentas negeri

118

1 MEI: Polis tidak menerima permohonan rentas negeri untuk tujuan membawa bapa sakit ke hospital seperti didakwa seorang wanita menerusi hantarannya yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Annas Sulaiman berkata, berdasarkan semakan melalui aplikasi MySejahtera dan rekod buku pelawat di Balai Polis Salak Selatan, pihaknya mendapati tiada rekod kehadiran wanita itu pada 17 April lalu.

Berikutan itu, beliau berkata, tiada sebarang permohonan rentas negeri direkodkan seperti dinyatakan wanita itu.

“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati wanita itu pernah membuat permohonan rentas negeri untuk melawat bapanya di Hospital Mawar, Seremban pada 15 Januari lalu.

“Selain itu, urusan keluarga di Melaka pada 11 Februari dan menghadiri temu duga kerja di Melaka pada 26 April serta kematian bapa di Nilai pada 28 April dan semua permohonan itu dibenarkan.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kekasaran tingkah laku anggota seperti didakwa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Annas memberitahu pihaknya mengesan hantaran wanita itu di media sosial yang mendakwa polis tidak membenarkan rentas negeri untuk membawa bapa sakit ke hospital sehingga menyebabkan bapanya meninggal dunia pada Rabu lalu.

“Wanita itu menyatakan membuat permohonan untuk tujuan membawa bapanya ke dusat Dialisis di Nilai, Negeri Sembilan, dengan mengemukakan beberapa dokumen termasuk surat dialisis dan kad orang kurang upaya (OKU) milik bapanya sebagai lampiran, namun permohonan itu ditolak.

“Dia menzahirkan perasaan kecewa melalui akaun media sosial miliknya dengan mengatakan polis tidak berperikemanusiaan.

“Wanita itu turut menzahirkan rasa sedih berikutan kematian bapanya pada 28 April lalu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.