SOP PKP lima daerah di Kedah akan diberi kelonggaran

140

1 MEI: Kerajaan Negeri Kedah mengesahkan prosedur operasi standard (SOP) di lima daerah di negeri itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka akan diberikan beberapa kelonggaran berbanding PKP 1.0.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau percaya penguatkuasaan SOP yang bermula pada Sabtu sedikit berbeza berbanding tahun lalu.

Namun, menurut beliau, SOP PKP secara terperinci di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu dan Baling akan segera dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya memahami kesukaran dihadapi orang ramai terutama berkaitan ekonomi peniaga dan penjaja namun, langkah ini amat perlu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang ramai. 

“Susulan itu juga diharapkan peniaga makanan memanfaatkan perniagaan secara atas talian selain kembali kepada penghantaran makanan melalui pesanan, sekiranya aktiviti perniagaan dihadkan susulan SOP terbaru ini.

“Kesukaran yang dialami daripada langkah ini tentulah bersifat negatif berbanding positif, namun nikmat kesihatan serta keselamatan hanya berharga apabila kesakitan bertandang dan bencana menimpa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan semua majlis berbuka puasa Pejabat Menteri Besar di beberapa daerah termasuk yang telah dirancang adalah dibatalkan.

“Sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal terpilih serta kepada guru al-Quran, bidan, pemandi jenazah dan lain-lain akan dilaksanakan secara agihan ke rumah,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, diharap langkah PKP di beberapa daerah ini dapat diterima sebagai sebahagian daripada kebiasaan baharu di saat kita sedang membuat persiapan Aidilfitri.

“Saya harap rakyat Kedah akan terus mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri dan keluarga.

“Jika diberi pilihan, tentulah kita memilih berhari raya dan menjalani kehidupan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun ketika ini pandemik Covid-19 mengancam seluruh dunia dan kita harus sentiasa berhati-hati.

” Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Kedah agar segera mendaftarkan diri program vaksinasi melalui MySejahtera atau pusat kesihatan berhampiran dan hadir bagi mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setiap daerah,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.