Perlu ada perbincangan bersama soal pindaan akta perburuhan

22

1 MEI : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengharapkan agar Kementerian Sumber Manusia (KSM) segera mengadakan perbincangan bersama pihaknya mengenai Pindaan Akta-Akta Perburuhan utama yang perlu selari dengan norma baharu, iaitu Akta Kerja 1955 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959. 

Setiausahanya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ini perlu dilakukan bagi membela nasib pekerja kira-kira 15 juta pekerja tempatan dan juga dua juta pekerja warga asing berdaftar di samping akan lebih terjamin sekiranya hak mereka diperjuangkan oleh kerajaan. 

Ujarnya, hak pekerja dalam suasana kini semakin terhakis di sebabkan oleh perlanggaran undang-undang daripada Majikan.

“Gaji dan pampasan yang sewajarnya pekerja perolehi tidak di berikan dengan alasan majikan mengalami masalah kewangan di sebabkan oleh COVID-19. 

“Kerajaan perlu meminda Akta Kerja 1955 secara menyeluruh dan kegagalan majikan membayar faedah yang berbentuk kewangan telah menjadi satu budaya baru kepada majikan.

“Kerajaan perlu jadikan kesalahan membayar faedah berbentuk kewangan di jadikan kesalahan jenayah untuk membolehkan majikan di tangkap dan di hukum berat. 

“MTUC tidak mahu kejadian pekerja membunuh diri kerana kegagalan majikan membayar gaji. Kewujudan ewages yang di bangunkan kerajaan untuk membolehkan pekerja membuat aduan berkaitan gaji, tidak akan bermakna jika penguatkuasaan tidak di lakukan,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Pekerja 2021,hari ini

Justeru itu, Kamarul Baharin menegaskan kerajaan perlu mengambil tindakan yang serius sebelum mencetus rasa ketidakpuasan hati terhadap syarikat dan penguatkuasa perlu mengambil tindakan dengan cara tidak berlembut terhadap majikan yang melanggar undang-undang. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu MTUC turut mendesak agar kerajaan mengambil langkah-langkah yang wajar dalam mengimbangi jurang gaji antara ke dua-duanya disebabkan kadar antara pihak pengurusan dan pekerja amatlah besar. 

“Kerajaan boleh jadikan syarikat-syarikat GLC sebagai projek rintis untuk di jadikan model supaya gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pekerja bawahan tidak melebar.

“Gaji CEO perlu di kurangkan dan gaji minima perlu di tingkatkan untuk membolehkan jurang gaji mengecil. MTUC akan mencadangkan gaji minima di tingkatkan kepada kerajaan dan akan berjuang untuk mendapatkannya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.