Virus COVID-19 Varian Filipina dikesan di Sarawak

52

30 APRIL: Virus COVID-19, Varian Filipina (Varian P.3) sudah dikesan di Sarawak, minggu lalu, menurut Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG).

SCOVAG berkata, varian itu dikesan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam analisis penjujukan genom.

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera, berkata Varian P.3 ditemukan dalam empat sampel dari Kuching dan empat sampel dari Samarahan.

“Mutasi ini didapati mampu melawan daya imun vaksin dan mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini,

Pada masa sama, Perera yang juga Ahli SCOVAG berkata, penyebaran tidak terkawal virus COVID-19 akan menjurus kepada kemunculan lebih banyak varian yang mungkin mendatangkan kesan ketara ke atas keberkesanan vaksin dan kebarangkalian jangkitan lebih teruk.

Katanya, perkembangan berterusan varian baharu COVID-19 bermaksud keperluan untuk orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi.

“Usaha ini akan membantu memperlahan penyebaran virus dan mengurangkan peluang perkembangan varian akan datang di dalam komuniti,” katanya.

Sejak COVID-19 tercetus tahun lalu, IHCM berada di barisan hadapan menentang pandemik itu di Sarawak, melalui peranannya melakukan ujian sampel dan analisis penjujukan genom bagi mengesan perubahan di dalam virus terbabit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.