Thailand Kekurangan Katil Rawat Pesakit COVID-19

105

30 APRIL: Penularan gelombang baharu COVID-19 memberi kesan besar terhadap sistem kesihatan Thailand apabila kes baharu yang dicatatkan negara itu pada bulan ini melonjak lebih 34,000 orang.

Keadaan itu menyaksikan hospital di Thailand kekurangan katil yang memberi tekanan kepada pihak kesihatan.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) melaporkan 1,871 kes baharu dan 10 kematian di negara itu, semalam.

Walaupun kes harian mula menurun di bawah 2,000 kes buat pertama kalinya dalam tempoh enam hari, hospital di negara Gajah Putih itu masih sesak dengan pesakit COVID-19 yang berdepan komplikasi serius.

Data daripada Kementerian Kesihatan Awam, menunjukkan peningkatan jumlah pesakit seramai 1,000 orang yang memerlukan intubasi dan menderita radang paru-paru atau keradangan tisu paru-paru dengan risiko mengakibatkan kegagalan untuk bernafas serta meningkatkan risiko kematian.

Peningkatan jangkitan baharu turut memaksa kerajaan membuka beberapa hospital di lapangan dan hotel di seluruh negara yang menyaksikan setakat ini, terdapat 10,000 katil yang masih kosong dan dikhaskan untuk pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya disediakan untuk pesakit tidak bergejala dan mengalami simptom ringan.

Sementara, individu dengan simptom sederhana atau serius perlu dirawat di hospital.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Perubatan pula, terdapat 44,560 katil hospital di seluruh Thailand.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Nattapong Wongwiwat, berkata, bilik pengasingan jangkitan melalui udara kebanyakannya menempatkan pesakit dengan komplikasi dan memerlukan intubasi.

Katanya, bilik jenis itu sedang menempatkan 70 hingga 80 peratus pesakit setakat ini.

“Jadi, kami sekarang berada dalam situasi membimbangkan kerana tidak ada ruang banyak untuk menempatkan pesakit baharu.

“Kami tidak boleh menempatkan semua pesakit mengikut kapasiti ada dan perlu menyusunnya supaya masih terdapat katil kosong,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.