Suami isteri ditahan kes dera bayi sembilan bulan

22

30 APRIL: Susulan kes seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut dengan kesan lebam dimulut dan kecederaan di dubur kerana dipercayai didera pengasuh, polis menahan sepasang suami isteri, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata pasangan berusia 35 tahun itu, ditahan di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di Petaling Jaya pada jam 8 malam.

Berhubung kes itu, katanya, polis menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah hospital kerajaan.

“Doktor terbabit mengaku menerima seorang bayi berumur sembilan bulan tidak sedarkan diri yang dibawa seorang lelaki dipercayai pengasuhnya.

“Bayi itu dibawa ke hospital kira-kira jam 7 petang Selasa dan hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di mulut serta kecederaan di dubur mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata, pihak polis kemudiannya menahan pasangan suami isteri warga tempatan berkenaan.

Kedua-dua suspek berumur 35 tahun itu, katanya, ditahan berdasarkan keterangan saksi yang membantu siasatan kes terbabit.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod dalam kes dadah, iaitu Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.