PKP lima daerah di Kedah bermula esok

184

30 APRIL: Penduduk di lima daerah di Kedah bakal meraikan sambutan Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila lokaliti itu dikenakan arahan berkenaan selama 14 hari mulai esok.

Daerah yang terbabit itu adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan itu dikeluarkan kerana dalam tempoh 14 hari sehingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 709 kes aktif direkodkan di kesemua daerah terbabit selepas berlaku penularan jangkitan membabitkan beberapa kluster.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di lima daerah seperti dinyatakan ini berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021.

“PKP ini bertujuan bagi menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan dan kapasiti kesihatan awam, makmal serta hospital di Kedah semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula akan dilaksanakan selama dua minggu di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah, selepas KKM mengesahkan daripada 186 ujian saringan dijalankannya sehingga kini, lapan disahkan positif COVID-19, malah berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti itu.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021.

“PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes COVID-19, selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan luar di lokaliti berkenaan,” katanya.

PKPD dalam tempoh sama, katanya, turut dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah apabila KKM merekodkan 18 kes positif hasil daripada 185 ujian saringan yang dijalankan ke atas penghuni sekolah dan penduduk di lokaliti terbabit, selain berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di situ.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di SMK Madai, Kunak, Sabah berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021.

“PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes COVID-19, selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain luar di lokaliti itu,” katanya.

Beliau berkata, PKPD selama dua minggu turut dilaksanakan di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak, memandangkan sehingga kini, KKM merekodkan 17 kes positif daripada keseluruhan 148 ujian saringan dijalankan, selain berlaku kenaikan kes secara mendadak dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti itu.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021.

“PKPD ini akan memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan lanjut dalam kampung terbabit serta keluar dari kampung tersebut,” katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan yang sebelum dijadualkan tamat esok, dilanjutkan selama 14 hari.

Katanya, pelanjutan itu adalah kerana daripada 596 ujian saringan dijalankan KKM, sebanyak 67 daripadanya disahkan positif.

Makluman KKM, katanya, turut memberitahu terdapat kes baharu direkodkan dengan kadar jangkitan masih tinggi di lokaliti itu, selain 356 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan bermula 1 Mei sehingga 14 Mei 2021,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Taman Mesra Bako, Kuching, Sarawak akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan.

Menerusi 156 ujian saringan dijalankan KKM, katanya, 73 daripadanya disahkan positif dan berlaku penurunan kes serta kluster adalah terkawal.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Taman Mesra Bako, Kuching, Sarawak, pada 1 Mei 2021 seperti dijadualkan,” katanya.

Satu lagi PKPD di Sarawak, jelasnya, iaitu di Kampung Tengah, Betong, Sarawak juga akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan.

Pelaksanaan itu, katanya, selepas 207 ujian saringan dijalankan KKM mendapati 11 daripadanya positif, manakala berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Tengah, Betong, Sarawak pada 1 Mei 2021 seperti dijadualkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tiga taman perumahan, iaitu Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley di Tawau, Sabah yang sebelum ini dikenakan PKPD akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan.

Sepanjang tempoh itu, katanya, KKM  menjalankan 20 ujian saringan di Taman Hilltop dengan lapan daripadanya disahkan positif dan 198 ujian saringan di Taman Bukit Bintang merekodkan 19 positif, manakala enam kes positif dicatatkan di Taman Berkley daripada 18 ujian saringan.

“KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal di tiga taman perumahan ini.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga taman perumahan dinyatakan pada 1 Mei 2021 seperti dijadualkan,” katanya.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.