Klip Audio, Hamzah Tidak Lakukan Kesalahan-Badrul Hisham

145

30 APRIL: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mempunyai hak dalam memberi pandangan pelantikan Ketua Polis Negara baharu. 

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata perkara itu tidak melanggar undang-undang kerana dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai Pengerusi SPP, maka pasti (Hamzah) akan cuba menamakan siapa yang dia kenal berintegriti dan mampu berkhidmat dengan baik membantu semua ahli jawatankuasa membuat keputusan.

“Maka tiada kesalahan berlaku pun, cuma saya yakin perbualan itu antara pegawai  tertinggi PDRM dengan Pengerusi SPP, ada pihak bertindak khianat merakam. Ini satu kesalahan jenayah serius. 

“Watak-watak seperti inilah yang menjadi pengkhianat yang mampu menjual maklumat kepada pihak berkepentingan di luar polis seperti kartel jenayah dan lain-lain. Watak ini wajib dicari, dipecat dan dihukum,” katanya menerusi kenyataan kepada PN BBC Portal, hari ini. 

Terdahulu, Hamzah hari ini mengakui rakaman audio perbualannya dengan seorang individu berhubung pelantikan KPN seperti yang tular di media sosial baru-baru adalah suaranya.

Malah, Hamzah menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan pelantikan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai KPN baharu berkuat kuasa mulai 4 Mei ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu Hamzah menegaskan perbuatan individu yang merakam perbualannya adalah salah dan perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard menegaskan antara yang kelihatan gembira menyebarkan rakaman suara Hamzah ini adalam kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berpandangan kem tersebut menggunakan rakaman itu bagi menutup kesalahannya terhadap rakaman audio Anwar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

“Sangat berbeza dua rakaman ini kerana Hamzah tidak nafikan kerana tiada kesalahan berlaku malangnya rakaman Anwar dan Zahid, kedua-dua nafi dan kata nak lapor polis sebaliknya menikus. 

“Rakaman Hamzah mendedahkan dia cuba jalankan tanggungjawab bincang mencari individu terbaik bagi pasukan polis (Perak) tetapi rakaman Zahid – Anwar dedahkan pakatan sulit menipu ahli parti dan penyokong sendiri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.