Undi18: Pendaftaran pemilih perlu dilakukan serentak

11

29 APRIL: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menetapkan garis masa yang jelas berkenaan dengan pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik. 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, ini perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak ada lagi sebarang persepsi negatif seolah-olah menggambarkan ada usaha terancang untuk menggagalkan agenda bersejarah yang disepakati secara bipartisan di Parlimen. 

“Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan Undi18 menjelang PRU-15 kelak dan mahu pelaksanaan berjalan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Kaedah itu adalah sebagaimana syarat utama yang diletakkan oleh Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional ketika pindaan Perlembagaan Persekutuan hendak diluluskan di Dewan Rakyat pada 2019,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kerajaan terus komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini memaklumkan, perkara itu telah dibincangkan dan disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Takiyuddin berkata, kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu Pemuda UMNO menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang terus komited untuk memastikan perlaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik sebagaimana yang diputuskan di Parlimen merentasi parti menjadi satu kenyataan.

“Pelaksanaan Undi18 adalah hasrat murni untuk memberikan suara dan hak demokrasi kepada lebih 1.2 juta anak muda berumur diantara 18 dan 20 tahun. 

“Serta hampir 4.2 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 21 tahun tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih,” katanya. 

Isu Undi-18 kembali menghangatkan arena politik tanah air, selepas Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, mengakui proses pendaftaran pemilih automatik dan pengundian 18 tahun hanya boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, setelah menilai semula pelbagai isu yang menjejaskan perancangan dan persiapannya.

.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.