Polis panggil Zunar beri keterangan isu karikatur MB Kedah

89

29 APRIL : Kartunis, Zulkiflee SM Anwar Haque yang lebih dikenali sebagai Zunar akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, Kedah pada 9 April depan berhubung lukisan karikatur yang didakwa mengkritik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, Zunar dipanggil bagi mengambil keterangannya susulan terdapat laporan polis terhadapnya.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar semua pihak terlibat memberikan kerjasama dalam siasatan kes berkenaan.

“Zunar dipanggil ke IPD Padang Terap untuk bantu siasatan sahaja berkaitan lukisan kartun olehnya yang diterbitkan di Facebook miliknya pada 23 Januari lalu,” katanya kepada media hari ini. 

Mulkiaman menegaskan pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada iitu, Zunar memaklumkan telah menerima panggilan oleh pegawai polis berpangkat Inspektor dari IPD Padang Terap untuk hadir bagi melengkapkan siasatan berhubung kartun yang dihasilkannya pada 23 Januari lalu.

“Kartun itu disiarkan dalam Facebook, Zunar Kartunis Fan Club. Saya akan hadir di IPD Padang Terap pada 11 pagi, Ahad,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi pada 21 Januari lalu mengumumkan tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam susulan wabak COVID-19 sehingga mencetuskan kemarahan segelintir pihak, termasuk Timbalan Presiden MIC, M Saravanan. 

Susulan itu, pada 25 Januari, Pemuda PAS Kedah membuat laporan polis terhadap Zunar berhubung karikatur berkenaan yang didakwa memberi gambaran buruk dan memfitnah Menteri Besar Kedah itu.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid menempelak Zunar kerana beliau boleh saja menghubungi Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan penjelasan, berbanding melakar karikatur menyerupai Muhammad Sanusi memotong sebuah meja yang diduduki masyarakat pelbagai kaum, dengan kata-kata: ‘Orang Kedah hidup aman damai sebelum dia ni mai.’

Pihaknya mahu isu berkenaan menjadi pengajaran bahawa bukan sewenang-wenang semua perkara boleh dipolitikkan sesuka hati.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.