Petronas Tambah 3 Kapal LNG Baharu

146

29 APRIL: Petronas LNG Ltd (PLL) menandatangani Perjanjian Carter Berdasarkan Tempoh (TCP) bagi tiga kapal gas asli cecair (LNG) baharu dengan pemilik kapal, Hyundai LNG Shipping (HLS), yang menjadikan jumlah kapal globalnya sebanyak 27 kapal.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, kapal berkapasiti 174,000 meter padu itu dijangka diserahkan mulai suku kedua 2024 secara berperingkat dan akan digunakan untuk membawa kargo dari LNG Canada, sekali gus menyumbang lagi kepada bekalan yang kompetitif dan tidak terjejas kepada pelanggan.

“Kapal pelbagai saiz membolehkan syarikat untuk menghantar LNG ke lebih 25 negara dari portfolio bekalan global yang terletak di Malaysia, Australia, Mesir dan Kanada pada 2024,” katanya.

Sehingga kini, Petronas sudah menghantar lebih 11,500 kargo LNG ke seluruh dunia.

Perjanjian TCP dengan HLS diberikan melalui pelaksanaan tender antarabangsa yang akan menyokong portfolio perniagaan LNG global Petronas yang semakin berkembang.

Sebagai sebahagian perjanjian itu, HLS menandatangani kontrak pembuatan kapal dengan Hyundai Heavy Industries (HHI) untuk pembuatan ketiga-tiga kapal terbabit.

Apabila siap, kapal terbabit akan menjadi antara pengangkut LNG paling cekap tenaga yang pernah dibina, dengan penjana aci dikuasakan oleh LNG, menurut Petronas.

“Kapal ini juga dilengkapkan dengan sistem pelinciran udara bagi mengurangkan rintangan badan kapal dan dicipta dengan reka bentuk badan kapal dioptimumkan supaya dapat meredakan seretan aerodinamik di laut,” katanya.

Kapal mesra alam ini akan dilengkapi dengan Penyelesaian Kapal Pintar Bersepadu untuk meningkatkan proses pemantauan prestasi.

Secara keseluruhannya, ciri-ciri ini akan membolehkan kapal terbabit mencapai jejak pelepasan karbon paling rendah dalam kelasnya, membuktikan lagi komitmen Petronas dalam usaha memberi penyelesaian tenaga yang lebih bersih secara bertanggungjawab.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.