Pelajar asrama Sarawak dibenar pulang tanpa ujian saringan

26

29 APRIL: Pelajar asrama di Sarawak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing tanpa perlu menjalani ujian saringan rt-PCR COVID-19, selepas kerajaannya mengumumkan untuk melanjutkan tempoh penutupan institusi pendidikan di situ hingga 10 Mei depan.

Kebenaran itu adalah antara keputusan terbaharu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini, yang turut memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Panjang (Rh) Awit di Julau, Rh Papit (Sarikei) dan Rh Andrew (Pakan) dari 28 April hingga 11 Mei depan.

PKPD juga akan dikenakan di Sekolah Menengah Melugu (Sri Aman), Rh Janting (Simunjan) dan Rh Uming (Bintangor) dari 28 April hingga 12 Mei serta di Rh Naning (Sarikei) dari 30 April hingga 6 Mei.

Sarawak merekodkan 522 kes baharu COVID19, hari ini, menjadikannya merekodkan jumlah keseluruhan adalah 29,899 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan enam kluster baharu, iaitu Kluster Tabuan Jaya, Kluster Taman Pelita dan Kluster Tabuan Melayu di Kuching, Kluster Durin di Bau, Kluster Sileng Dayak di Lundu dan Kluster Sains Bakam di Miri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.