Majikan Kejam Kurung Pekerja, Bayar Gaji RM10 Sehari

63

29 APRIL: Bukan sahaja dibayar gaji sedikit RM10 sehari, namun mangsa juga akan dihukum potong gaji sekiranya mengambil makanan berlauk.

Itu nasib malang yang menimpa 22 pekerja restoran di Taman Chi Liung, Klang, Selangor, yang diselamatkan pihak polis daripada Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan Op Pintas Bersepadu itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sebelum pihaknya menyerbu sebuah restoran dan dua asrama pekerja jam 12.45 tengah malam tadi.

Menurut beliau, tiga lelaki warga tempatan berusia 29 hingga 60 tahun iaitu majikan serta penjaga premis telah ditahan. 

“Dalam operasi itu, kami berjaya menyelamatkan 22 pekerja warga asing berusia lingkungan 23 hingga 44 tahun membabitkan 11 wanita warga Indonesia dan 11 lelaki warga India.

“Tangkapan dibuat untuk siasatan berkaitan eksploitasi buruh paksa, gaji yang dibayar tidak seperti dijanjikan, semua pekerja dikurung di asrama dan menerima ugutan daripada majikan dan penjaga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Fadil memberitahu pihaknya turut merampas 40 pasport, dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai dipercayai hasil perniagaan berjumlah RM3,858.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati majikan gagal membayar gaji RM1,500 sebulan seperti yang dijanjikan dan hanya membayar RM10 sehari, selain mengurung mangsa selepas waktu bekerja.

“Waktu bekerja mereka juga panjang iaitu 12 jam dan tiada hari cuti. Mangsa juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit walaupun selepas waktu kerja dan kebenaran harus diperoleh oleh majikan sekiranya mahu menggunakan telefon.

“Mangsa (pekerja) akan diugut pukul jika cuba melarikan diri selain makan yang dicatu. Jika mereka ambil makanan berlauk, gaji akan ditolak,” katanya.

Malah, Fadil berkata tempat tinggal yang disediakan untuk mangsa juga tidak mengikut piawaian Akta 446. 

Kes tersebut, katanya disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.