Wanita UMNO nafi jumpa Ahmad Zahid isu sokong Anwar

30

28 APRIL: Dakwaan seorang pemimpin UMNO bahawa wujud pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Wanita UMNO bagi meminta menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sebagai tidak berasas sama sekali.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, beliau bersama barisan Exco Wanita tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Zahid atas tujuan seperti yang didakwa oleh pemimpin tersebut.

“Saya menafikan dakwaan bahawa wujud pertemuan antara Presiden dengan Wanita UMNO untuk tujuan itu.

“Pertemuan sedemikian tidak pernah berlaku dan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Saya minta pihak berkenaan tidak mengheret Wanita UMNO ke dalam kancah politik yang tidak sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa wujud gerakan mendapatkan tandatangan ahli Parlimen daripada UMNO bagi menyokong Presiden PKR sebagai perdana menteri.

Dakwaan tersebut disokong oleh Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Mohd Yassin yang memaklumkan Zahid juga telah mendekati sayap parti itu untuk memujuk mereka menyokong Anwar.

Pada 7 April, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara, Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.

Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.