Polis tahan 10 individu leka bertaruh judi dadu

31

28 APRIL– Seramai 10 individu termasuk seorang wanita yang leka bertaruh judi dadu ditahan polis di sebuah kedai makan di Taman Lip Sin, George Town malam tadi.

Sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bertindak menyerbu kawasan terbuka itu pada jam 12 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan polis menahan kesemua suspek berusia 45 hingga 65 tahun itu sedang leka berjudi.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kita merampas wang tunai berjumlah RM300 yang dipercayai wang taruhan di atas meja manakala RM1,200 dalam milikan 10 suspek terbabit.

“Selain itu, semakan lanjut juga mendapati empat daripada 10 suspek itu pernah diberkas atas kesalahan berjudi.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” kata Rahimi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.