PKPD 9 penempatan di Pahang,Negeri Sembilan,Kelantan

22

28 APRIL: Tujuh penempatan di Raub, Pahang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penempatan itu, masing-masing dua di sekitar Sungai Chalit dan lima di Sungai Klau.

Katanya, penempatan itu adalah Kampung Baru dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Sungai Chalit, manakala di Sungai Klau, membabitkan Taman Sungai Klau, Taman Maju, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni serta Kampung Sungai Klau.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau, manakala tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti terbabit berkuat kuasa 29 April sehingga 12 Mei 2021.

“PKPD ini bertujuan menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) Machang, Kelantan selepas KKM merekodkan 87 kes positif daripada 207 ujian saringan dijalankan kepada pelajar dan penghuni lokaliti itu.

“Kes di lokaliti ini sudah menular dalam kalangan warga MTAZ dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi berdasarkan trend pertambahan kes baru.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD MTAZ Machang, Kelantan selama dua minggu, berkuat kuasa 29 April 2021.

“PKPD ini bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan penghuni maahad berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, PKPD dilaksanakan di Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan selepas daripada 170 ujian saringan dijalankan di lokaliti itu, mendapati 38 kes positif direkodkan.

“Malah, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu, manakala kadar positiviti kes adalah tinggi, iaitu 22.9%.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan selama 14 hari, berkuat kuasa esok.

“PKPD ini adalah bagi menyekat pergerakan keluar dan masuk untuk memastikan tiada penyebaran jangkitan menular ke komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong di Pahang yang dijadualkan tamat pada 30 April 2021, ditamatkan hari ini.

Bagi tempoh itu, katanya, KKM menjalankan 691 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 31 kes positif direkodkan.

Kementerian itu juga, katanya, mengesahkan penurunan kes dan kluster terkawal, sementara kes terakhir direkodkan adalah pada 26 April 2021, iaitu empat kes.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong di Pahang pada 28 April 2021, iaitu dua hari lebih awal daripada dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, jumlah individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 295 ditahan hari ini dan daripada jumlah itu, seramai 288 individu dikompaun, manakala tujuh direman.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis, iaitu seramai 175 individu, manakala tidak memakai pelitup muka sebanyak 71 individu serta aktiviti pusat hiburan (4)

“Tiada penjarakan fizikal mencatatkan empat kesalahan, rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (2) serta lain-lain (39),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.