Menteri Besar Perak jalani kuarantin 14 hari

18

28 APRIL: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, diarah menjalani kuarantin wajib COVID-19 selama dua minggu, mulai hari ini.

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas berlaku kontak rapat antara Saarani dengan seorang individu positif COVID-19 di Lenggong, baru-baru ini.

Perkara itu disahkan setiausaha politik beliau, Datuk Sham Mat Sahat, hari ini.

Sham berkata, beliau mengetahui perkara itu selepas Saarani meminta beliau mewakilinya ke sebuah majlis berbuka puasa di Batu Kurau yang dijadualkan pada Jumaat ini.

“Petang tadi dalam pukul 5 saya dapat maklumat bahawa Yang Amat Berhormat diminta jalani kuarantin selama 14 hari kerana kontak rapat dengan individu positif di Lenggong.

“Yang Amat Berhormat bagitau tak dapat hadir ke majlis pada Jumaat ini. Saya pun dapat maklumat tadi bila dia minta saya wakilkan dirinya ke majlis buka puasa Jumaat ini, di Batu Kurau. Bila saya tanya kenapa, dia kata dia kena kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat pada majlis berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.