Anuar Cadang SOP Bazar Ramadan, Aidilfitri Ditambah Baik

40

28 APRIL: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) di semua bazar Ramadan dan Aidifitri di ibu negara.

Menurutnya, cadangan itu hasil tinjauan di tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri dibuat pada minggu pertama perlaksanaannya selain tular gambar kesesakan pengunjung di tapak tersebut.

Katanya, seramai hampir 20,000 pengunjung yang datang ke bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) direkodkan menerusi aplikasi MySejahtera.

ANNUAR

“Antara perkara yang saya harap diperbaiki segera ialah penambahan penguat kuasa sukarela yang perlu menonjolkan identiti mereka dengan berpakaian sewajarnya supaya identitinya lebih tampak sebagai penguat kuasa.

“Pengendali bazar juga perlu menitikberatkan jumlah pengunjung yang hadir ke tapak berkenaan supaya berada dalam keadaan terkawal,” katanya di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, Annuar turut mencadangkan mengehadkan masa pengunjung berada di tapak bazar selama 40 minit bagi mengelakkan terlalu ramai yang beratur di pintu masuk selain pengunjung juga didapati tidak mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Annuar turut meminta agar semua barangan yang dijual di bazar terutama gerai-gerai yang menjual makanan hendaklah dibungkus dan diletakkan harga untuk menjaga kebersihan selain meletakkan pemisah di antara gerai di bazar Aidilfitri di Lorong TAR bagi memanfaatkan ruang sempit di kawasan tersebut.

 “Saya harap semua peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri dapat memberikan kerjasama supaya tiada bazar ditutup dan boleh terus berniaga sehingga malam raya.

“Jika semua mematuhi SOP tersebut, semua tapak bazar di Kuala Lumpur boleh terus berniaga dan semoga pengendali, peniaga serta pengunjung di bazar Aidilfitri Jalan TAR dapat meningkatkan kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.