1,700 Pihak Terbabit Buat Keputusan Mansuh UPSR

80

28 APRIL: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimuktamadkan selepas pihaknya memperoleh beberapa input penting ketika sesi libat urus bersama 1,700 pihak berkaitan.

Pihak itu, katanya membabitkan guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kesatuan dan persatuan pendidikan.

Radzi berkata, antara maklum balas diterima Kementerian Pendidikan (KPM) ketika sesi itu adalah guru terpaksa memberi tumpuan lebih kepada subjek UPSR, sehingga mengekang kreativiti guru dalam pengajaran. 

Katanya, ada guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa mencuri masa mata pelajaran lain, semata-mata bagi melakukan persediaan subjek UPSR yang mengehadkan kreativiti mereka. 

Antara dikongsi ibu bapa pula, katanya, adalah bagaimana tumpuan pada peperiksaan ini memberi ruang terhad dalam aspek lain pendidikan, malah ada memberitahu mereka turut tertekan untuk menyediakan anak-anak menduduki UPSR. 

“Murid juga tertekan membuat persediaan, terutama untuk mendapatkan skor 6A dan sebagainya.

“Saya sendiri ada bertemu murid bertanyakan mengenai UPSR, secara umum murid hanya melihat ujian ini sebagai komponen untuk ke asrama penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang khas Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), hari ini. 

Pada masa sama, Radzi berkata, keputusan pemansuhan itu dibuat hasil penelitian dan kajian KPM berdasarkan kaedah terbaik dilaksanakan di negara lain, membabitkan pendidikan peringkat rendah.

“Ini adalah perubahan besar kepada landskap pendidikan negara dan dalam konteks ini, kita melihat murid dan guru boleh menggunakan lebih banyak masa di sekolah untuk membentuk karakter murid, sekali gus menjadikan pembelajaran semakin seronok serta kreatif,” katanya.

Berhubung pembatalan PT3 pada tahun ini, beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar untuk mempersiapkan diri menduduki peperiksaan terbabit, terutama secara bersemuka bersama guru di sekolah. 

Asas utama lain mendorong kepada keputusan itu, katanya adalah keadaan penularan COVID-19 yang masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya. 

Justeru, katanya bagi pelajar Tingkatan 3 tahun ini, pentaksiran akan dibuat sama seperti tahun lalu, iaitu menerusi Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PPBS).

“PPBS akan membabitkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pula akan digunakan bagi menentukan kemasukan pelajar lepasan PT3 ke Tingkatan 4 sekolah khusus,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.