PKPD di empat lokaliti berbeza Sabah dan Sarawak

51

27 APRIL : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di empat lokaliti berbeza di Sabah dan Sarawak berikutan peningkatan mendadak kes penularan COVID-19 di kawasan terbabit.

Empat PKPD berkenaan ialah PKPD PPR Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan PKPD PPR Bt. 8 Jalan Apas, di Tawau; PKPD di Kompleks Abedon, Kinabatangan dan PKPD di FELDA Umas, Kalabakan, Sabah serta PKPD SMK Ulu Balingian, Sibu, Sarawak.

Pada masa sama, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung, Tawau, Sabah, bermula 29 April sehingga 12 Mei 2021 berikutan masih terdapat sampel dan kes penularan di situ.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD Politeknik Mukah, Sarawak serta penamatan PKPD di tiga kampung dan taman perumahan di Tawau, Sabah, mulai esok berikutan tiada lagi kes baharu COVID-19 dikesan KKM di kawasan terbabit.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD PPR Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman, Tawau, Sabah dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di kawasan terbabit.

Beliau berkata sehingga kini, KKM telah melakukan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 15 orang daripadanya disahkan positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di PPR Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman, Tawau, Sabah berkuat kuasa 28 April sehingga 11 Mei 2021.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan penduduk di kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismai Sabri berkata Malaysia telah mengambil tindakan drastik dengan menyekat sementara kemasukan pengembara, pelajar antarabangsa dan pelawat perniagaan antarabangsa dari India ke negara ini bagi mengelak penularan varian baharu COVID-19 dari negara terbabit.

Ismai Sabri berkata langkah sama turut diambil lain seperti Singapura, Hong Kong, Australia, Kanada, New Zealand, UAE, United Kingdom dan Indonesia.

“Bayangkan COVID-19 telah pun berada dalam komuniti dan kemunculan varian baru ini akan meningkatkan lagi risiko penularan yang lebih besar jika kita tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Situasi pandemik di India pada ketika ini adalah satu peringatan kepada kita semua dan wajar diberikan perhatian yang serius. Kita mestilah berwaspada dengan penularan wabak ini terutama ketika berada di tempat tumpuan orang ramai seperti Bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Sementara itu, Ismail Sabri juga mengesahkan seramai 282 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 277
dikompaun manakala lima (5) direman.

Antara kesalahan ingkar SOP adalah, tidak mendaftar masuk premis (98), tidak memakai pelitup muka (63), penjarakan fizikal (64) dan lain-lain kesalahan (57). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.