Pelajar isu gurauan seksual ditawar Khidmat guaman percuma

94

27 APRIL: Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar perempuan yang dikaitkan dengan isu gurauan seksual seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan baru-baru ini.

Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata gangguan seksual dilihat masih berakar umbi dalam kalangan masyarakat dan ia perlulah dihentikan segera.

“Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang memberi amaran keras supaya budaya gangguan seksual hendaklah dihentikan serta-merta bermula dari peringkat sekolah dan sistem pendidikan di negara ini.

“Justeru, kami sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar yang telah mengalami gangguan emosi dan trauma akibat kejadian gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang bertegas bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan yang wajar berhubung isu gurauan seksual seorang guru jasmani yang mempersendakan jenayah seks dalam kelas.

Tambahnya, pihaknya turut kesal dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis negara yang mengatakan ugutan rogol terhadap mangsa mungkin adalah satu gurauan.

Norliza berkata, kenyataan itu seolah-olah pihak polis memandang ringan ugutan seksual terhadap seorang perempuan.

Tambahnya, menteri pendidikan dilihat seakan-akan lepas tangan dalam kes tersebut dengan menyerahkan perkara tersebut dalam siasatan polis.

“Kementerian mempunyai kuasa untuk mendisplinkan guru berkenaan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

“Selain itu, kementerian perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang memandang ringan kejadian seperti ini termasuk guru yang menggunakan gurauan seks dalam mana-mana proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya yang pihaknya sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.