Maqis rampas lobak merah China

28

27 APRIL: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 2.7 tan lobak merah dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, rampasan dilakukan selepas pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguat kuasa Maqis pada jam 9.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati maklumat pada label lobak merah tersebut tidak sama seperti yang diikrarkan dalam sijil perakuan yang dikemukakan.

“Lobak merah dianggarkan bernilai RM75,800 itu dirampas bagi siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, pengimport dan pengeksport dinasihatkan agar sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.