KDN panggil Mkini,China Press berhubung berita ugutan rogol

96

27 APRIL : Portal berita dalam talian, Malaysiakini dan akhbar, China Press, akan dipanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan tidak tepat kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengenai ugutan rogol terhadap seorang remaja.

Menurut KDN, pihaknya akan memanggil dua organisasi itu dengan segera bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut.

“Laporan dua media ini adalah tidak tepat, justeru KDN akan memanggil organisasi terbabit.

“KDN juga menasihatkan pengamal media untuk mengekalkan prinsip kewartawanan yang baik bagi memelihara kewibawaan laporan diterbitkan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, seorang pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, mendakwa menerima ugutan rogol daripada rakan sekelasnya, selepas dia mendedahkan guru lelaki membuat jenaka berkaitan jenayah rogol.

Pelajar itu kemudian membuat laporan polis berhubung ancaman diterimanya.

Malaysiakini menerbitkan laporan berita bertajuk ‘Deputy IGP Describes Rape Threat Against Teen As ‘Maybe’ A Joke’ (Timbalan Ketua Polis Negara menggambarkan Ugutan Rogol Terhadap Remaja ‘Mungkin’ Gurauan’.

China Press pula menerbitkan laporan berita bertajuk ‘Pelajar Wanita Dihina Diugut Rogol, Acryl Sani: Rakan Sekelas Mungkin Bergurau’.

Laporan itu diterbitkan susulan sidang media dibuat Acryl Sani semalam selepas ditanya wartawan berhubung perkembangan kes pelajar perempuan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.