Geng Nicky: 12 Pegawai Polis, SPRM ditahan

159

27 APRIL: Polis Johor menahan 12 pegawai polis termasuk berpangkat Superintendan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terbabit dengan ‘Geng Nicky’.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan dalam fasa dua Ops Pelican 3.0 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April hingga pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Salah seorang daripada 10 pegawai polis ditahan berkenaan adalah dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen Selangor (4) termasuk Ketua Balai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Di Kontinjen Melaka, seorang ditahan dari IPD Melaka Tengah; di Kontinjen Kuala Lumpur, dua pegawai dari IPD Sentul; dan Kontinjen Negeri Sembilan, seorang pegawai bertugas di Pusat Latihan Polis Air Hitam,” katanya pada sidang media di Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, polis juga menahan seorang penolong pesuruhjaya dan seorang penguasa SPRM yang bertugas di ibu pejabat badan pencegah rasuah Malaysia di Putrajaya bagi membantu siasatan kes terbabit.

Tambahnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA.

Katanya, tangkapan itu menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan membabitkan kes ‘Geng Nicky’ kini berjumlah 64 orang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.