Dera anak, warga Indonesia dipenjara 22 tahun

72

27 APRIL: Seorang buruh ladang warga Indonesia yang videonya tular kerana mendera dua anak kandungnya, bulan lalu, dipenjara 22 tahun hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu.

Keputusan itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Awang Kerisnada Awang Mahmud yang memerintahkan lelaki terbabit, Nasir Basir, 26, menjalani hukuman penjara 11 tahun bagi setiap tuduhan.

Beliau mengarahkan semua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan, mulai hari ini.

Nasir didakwa mendedahkan anak perempuan dan anak lelakinya yang masing-masing berusia lima serta tiga tahun dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal, selain kesan gangguan emosi.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah perumahan pekerja Ladang Giram, Divisyen Ulu Balung, Jalan Tawau-Kunak kira-kira jam 3 petang pada 13 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Nasir yang tidak diwakili peguam berkata, perbuatan itu dilakukannya kerana sedang tertekan akibat masalah rumah tangga, malah perlu menjaga dua anaknya sendiri sejak isterinya melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kershanathan Pathmanathan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan berat.

Baru-baru ini, sebuah video memaparkan Nasir mendera dua anaknya dengan memijak mereka beberapa kali dan membuat ugutan menggunakan senjata tajam tular di media sosial.

Kejadian itu sengaja dirakam tertuduh menerusi dua rakaman video berdurasi 26 minit dan 16 saat menggunakan telefon bimbit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.