Dakwaan larangan rentas daerah ketika Aidilfitri palsu

61

27 APRIL : Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya kerajaan akan menguatkuasakan larangan rentas daerah dalam tempoh sebelum dan selepas Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei ini.

Ismail Sabri menjelaskan, SOP sambutan Aidilfitri masih sedang diperhalusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara.

“Fake, tak betul. Saya belum umumkan SOP Aidilfitri. Saya sudah kata akan umumkan SOP berkenaan sambutan sewaktu Aidilfitri iaitu tentang takbir, solat (sunat) aidilfitri, aktiviti berkunjung dan ziarah tanah perkuburan.

“Rentas daerah tidak dibenarkan adalah tidak benar sama sekali,” katanya mengulas dakwaan larangan yang akan dikuatkuasakan bagi tempoh lima hari sebelum dan selepas Aidilfitri pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memgumumkan SOP sambutan Aidilfitri dalam masa terdekat setelah ia  selesai diperhalusi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama MKN dan KKM.

“Insya Allah saya akan cuba umumkan dalam tempoh terdekat. Sekali lagi saya ingin mengingatkan supaya kita sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, elakkan berada di tempat tumpuan orang ramai.

“Gaya hidup kita telah berubah, jadi kita perlu membiasakan diri dalam suasana norma baharu,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata semalam, seramai 750 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya telah dikuarantin wajib.

Beliau berkata secara kumulatif, sehingga 22 April 2021, seramai 186,835 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,847 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 76 Hotel dan 9 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.  Seramai 1,651 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 177,337 individu dibenarkan pulang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.