Sesi persekolahan diteruskan dengan SOP ketat – KPM

39

26 APRIL: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, menegaskan kementeriannya komited meneruskan sesi persekolahan kerana prosedur operasi standard (SOP) digunapakai di sekolah ketika ini diyakini dapat mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata, data terkini diperoleh Kementerian Pendidikan (KPM) jelas menunjukkan bahawa sekolah adalah selamat dan bukan tempat pencetus kluster COVID-19, seperti didakwa pelbagai pihak.

Katanya, data diperoleh daripada Kementerian Kesihatan (KKM) itu, menunjukkan daripada 99 kluster pendidikan, 52 daripadanya adalah membabitkan sekolah di bawah KPM dengan 2,274 kes.

“Data ini adalah 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster atau 2.07 peratus daripada kes kluster.

“Daripada kes itu, 1.42 peratus atau 1,559 kes melibatkan sekolah berasrama dan hanya 0.53 peratus atau 585 kes membabitkan sekolah bukan asrama, tidak sampai satu peratus pun,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Radzi berkata, KKM menerusi kenyataanya, memaklumkan setakat ini 60.8 peratus kes COVID-19 di Malaysia adalah kes sporadik dan baki 39.2 peratus membabitkan kes kluster.

“Jika kita lihat 60.8 peratus kes sporadik, dalam konteks ini, kanak-kanak terdedah kepada COVID-19 di mana-mana sahaja, cuma dalam keadaan di sekolah murid berada dalam keadaan terkawal kerana SOP memang ditetapkan.

“Bukan kita katakan kita ini sempurna, tetapi kita akan sedaya upaya memastikan jangkitan di sekolah dapat diminimakan dengan SOP kita tetapkan,” katanya.

Selain itu, Radzi berkata, bagi memperketatkan pematuhan SOP di asrama, pihaknya akan menambah baik langkah pematuhan SOP melalui pasukan petugas khas ditubuhkan.

Bagaimanapun, katanya, arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan jika keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tegasnya, setakat ini, SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif diselaraskan iaitu ditutup dua hari dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Penutupan itu juga, katanya, bagi membolehkan PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi serta disinfeksi.

Bagi kawasan zon merah dan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali PKP Diperketatkan (PKPD), katanya, sekolah tidak akan ditutup, namun kerajaan negeri boleh berbincang dengan kementerian jika risiko jangkitan memerlukan institusi pendidikan itu di sesuatu lokaliti ditutup dengan penilaian risiko daripada KKM.

Ketika disang media itu, Radzi turut berkongsi peratusan kehadiran ke sekolah sejak 1 Mac hingga 23 April iaitu 90.26 peratus yang disifatkan tinggi.

“Ini bermakna ketika murid masuk ke sekolah walaupun kes tinggi, keadaan pembelajaran berlangsung dengan baik dan dalam keadaan yang selamat.

“Apabila kita turun ke bawah dan tanya anak-anak, mereka teruja ke sekolah, malah guru juga boleh lihat tahap penguasaan murid-murid, selain menggunakan masa yang ada ini untuk membawa murid-murid ke tahap penguasaan minima, ibu-bapa juga mahu anak-anak ke sekolah,” katanya.

Jelasnya, keputusan untuk menutup sekolah pada ketika ini mungkin satu tindakan mudah, tetapi mungkin bukan satu keputusan yang tepat.

“Kalau kita pilih jalan mudah, itu (tutup sekolah) memang jalan mudah, tetapi KPM berpandangan ‘mari kita lakukan perkara yang betul’.

“Adakah menutup sekolah keputusan yang tepat pada masa ini. Kita perlu buat keputusan berdasarkan data dan analisa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.