Polis Terima Dua Laporan Terhadap Guru Galak Rogol

39

26 APRIL:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua laporan berhubung dakwaan seorang guru mengeluarkan perkataan berunsur lucah dengan menggalakkan perlakuan rogol ketika sesi kelas subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dua laporan itu dibuat seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun kerana perkataan dikeluarkan guru itu tidak sesuai dan gurauan rakan sekelas mengenai kes terbabit.

“Kita terima dua laporan kes itu dan siasatan sedang dijalankan. Polis sudah ambil keterangan guru dan pelajar terbabit.

“Polis juga sedang giat merakam percakapan individu lain termasuk rakan sekelas yang berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Kertas siasatan kemudian akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan guru yang berusia 41 tahun itu telah diambil keterangan berhubung kes terbabit, semalam.

“Selain guru terbabit, kami juga sudah mengambil keterangan pengadu iaitu seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, semalam.

“Beberapa saksi lain juga akan diambil keterangan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa’aton berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada Sabtu lalu.

“Laporan itu dibuat oleh pengadu selepas guru berkenaan ada menyebut mengenai elemen rogol di dalam kelas yang mendatangkan kegusaran serta tidak senang hati pelajar perempuan berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, seorang pelajar mendakwa ketika mengikuti kelas guru tersebut pada mulanya berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.