Golongan muda harus berani bantu pemulihan dunia

22

25 APRIL: Golongan muda harus berani dan memulakan inisiatif bagi membantu memulihkan dunia kepada keadaan lebih baik, dalam mengharungi pandemik COVID-19, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah, golongan muda juga harus diberi peluang dan sokongan untuk memainkan peranan mereka sebagai warga dunia yang aktif menyumbang.

Selain itu, titahnya, golongan muda adalah individu bersemangat, berbakat serta kreatif dan penularan pandemik itu menunjukkan bahawa mereka juga panjang akal untuk terus belajar, selain menyesuaikan diri, sekalipun berdepan gangguan besar dalam pendidikan mereka.

“Kita lihat golongan muda melakukan kerja sukarela, menyokong petugas barisan hadapan, membangkitkan kesedaran awam dan paling tidak, menjadi warga yang bertanggungjawab dengan mematuhi garis panduan pencegahan penularan COVID-19.

“Kita juga melihat usaha pertubuhan belia, seperti dilakukan Big 6 dalam memastikan pembelajaran orang muda tidak terhenti, di sebalik segala gangguan itu,” titah baginda dalam video bersempena ‘Global Youth Mobilisation’ yang diadakan secara maya, semalam.

Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menzahirkan rasa gembira diundang bertitah pada ‘Global Youth Mobilisation’, iaitu inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Big 6 Youth Organisations, malah sebagai ahli Pandu Puteri, Pengakap Puteri serta Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia, baginda bangga menjadi sebahagian daripada program itu.

“Beta mengucapkan tahniah kepada WHO dan Big 6 Youth Organisations kerana proaktif dalam mengiktiraf maklum balas positif bahawa orang muda boleh menyumbang kepada usaha menangani pandemik COVID-19, selain memainkan peranan aktif dalam usaha pemulihan menerusi kewujudan platform ini serta sumber untuk menyokong mereka,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong menggesa semua agensi kerajaan, perniagaan dan komuniti untuk menyokong golongan muda menerusi inisiatif Global Youth Mobilisation itu.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah, pendidikan tidak formal  diterima guna untuk dilaksanakan golongan muda di rumah dan secara maya.

Malah, titah baginda, lebih banyak hubungan antarabangsa yang menyumbang kepada persefahamanan keamanan dunia berlaku, melalui program dan acara maya membabitkan golongan muda dari pelbagai negara pada masa ini.

“Kami sangat bangga apabila dua ahli Pandu Puteri dari Malaysia dapat berucap pada forum kesaksamaan generasi di Mexico kerana kalau pada hari-hari biasa, usaha ini akan membabitkan kos yang banyak untuk membawa mereka ke sana,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.