‘Period spot checks’ langgar hak kanak-kanak

16

24 APRIL: Tindakan guru melakukan ‘period spot checks’ yang berlaku di sekolah awam di Malaysia adalah pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata tindakan seumpama itu mungkin boleh mewujudkan unsur gangguan dan penderaan seksual ketika melakukan perbuatan tersebut.

“Selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, adalah wajib untuk memastikan sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.

“Di bawah Konvensyen yang sama, Perkara 16, 19 dan 36 masing-masing menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi, perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan, dan pengabaian dan perlindungan daripada segala bentuk eksploitasi lain yang merangkumi eksploitasi seksual dan gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Noor Aziah, berkata Suhakam mengingatkan Kementerian Pendidikan mengenai tanggungjawabnya untuk melindungi semua kanak-kanak atau pelajar dari segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 34 CRC.

Katanya, kementerian diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru dan pihak sekolah yang telah melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.

“Guru yang telah melakukan perbuatan tersebut hendaklah didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atau Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Garis panduan mendisplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan tindakan guru yang menyalahguna kuasa tidak berulang,” jelasnya.

Tambah Noor Aziah, semua guru seringkali diingatkan akan tugas mereka sebagai pendidik, dan mereka tidak boleh memberi layanan buruk dan mengganggu pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran.

“Amat penting bagi Malaysia untuk mewujudkan dan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa hadapan kita.

“Suhakam menyeru semua kementerian dan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan semua sekolah dan sekolah berasrama penuh seumpamanya, menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak pada setiap masa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.