Pencarian KRI Nanggala-402 lepasi tempoh sasaran 72 jam

53

24 APRIL: Kapal selam KRI Nanggala-402 milik tentera Indonesia (TNI), masih belum ditemukan walaupun sudah melepasi tempoh 72 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Ketua Jabatan Penerangan TNI Angkatan Laut, Julius Widjono, berkata pihaknya masih optimistis menemukan kapal selam itu.

“Kita harus optimis. Kita memohon doa kepada segenap bangsa Indonesia semoga 53 orang bisa selamat,” katanya hari ini menerusi kenyataan seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Dioperasikan sejak 1981, KRI Nanggala-402 buatan Jerman itu, sedang melakukan latihan dengan membawa 53 anak kapal sebelum dilaporkan hilang.

Kali terakhir kapal selam itu melakukan kontak sebelum terputus hubungan adalah ketika hendak menyelam pada kira-kira jam 3.00 pagi (waktu Indonesia Barat), Rabu lalu.

Seluruh aset sudah dikerahkan untuk mencari kapal selam itu.

Beberapa negara sudah menghantar bantuan bagi membantu usaha SAR itu, antaranya Malaysia, Singapura, India, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Khamis lalu, Malaysia menggerakkan kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti bagi misi itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata TLDM juga mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan anak kapal dan supaya KRI Nanggala-402 segera ditemui.

Kenyataan TNI memaklumkan, status kapal itu sehingga kini masih ‘hilang kontak dan tidak ada bukti menunjukkannya karam.

Sebelum ini, pasukan SAR dilaporkan berada pada saat genting untuk menyelamatkan kapal selam itu kerana bekalan oksigen di dalamnya dikatakan hanya mampu bertahan sehingga jam 3 pagi, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.