Henti serangan peribadi kes kompaun masjid -CUEPACS

18

24 APRIL: Orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO), digesa menghentikan serangan bersifat peribadi terhadap penjawat awam yang melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata individu dan NGO juga perlu mendapatkan maklumat tepat daripada sumber sahih, sebelum membuat kenyataan berbentuk serangan dan tuduhan tidak berasas.

“Tuduhan ini bukan sahaja mencetuskan perdebatan masyarakat, malah memberi kesan buruk kepada perkhidmatan awam sekiranya tidak benar.

“Hentikan serangan bersifat peribadi kepada anggota perkhidmatan awam kerana setiap tindakan mereka dibuat berlandaskan peraturan dan undang-undang, termasuk bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kecaman orang ramai terhadap seorang penjawat awam berhubung isu mengeluarkan kompaun kepada sebuah masjid di Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Penjawat awam itu kini menjadi mangsa buli dan kecaman di media sosial, malah sebuah NGO turut menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kakitangan terbabit dan kes kompaun membabitkan masjid berkenaan.

Adnan berkata, tuduhan NGO berkenaan dibuat tanpa semakan fakta dan kronologi kes tepat sehingga mangsa menerima banyak serangan dan kecaman tidak berasas serta ruang peribadinya diceroboh.

Katanya, tindakan itu telah mengganggu tugas seorang penjawat awam yang hanya bertindak demi memastikan kepatuhan masyarakat terhadap undang-undang dikuatkuasakan.

Adnan berkata, CUEPACS memohon Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau Pengerusi Pasukan Khas COVID-19 daerah Pekan, tampil memberikan penjelasan sebenar berhubung isu terbabit.

“Penjelasan ini diperlukan supaya nama penjawat awam berkenaan dapat dibersihkan dan dia tidak lagi diserang beberapa pihak, termasuk NGO yang tidak tahu kisah sebenar di sebalik apa berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, CUEPACS pada peringkat awal memberikan ruang kepada penjawat awam dan jabatan terbabit menyelesaikan isu berkenaan kerana merasakan keadaan serta situasi pada masa itu dapat diselesaikan dengan baik.

Bagaimanapun katanya isu berkenaan semakin gagal dikawal berikutan penyebaran maklumat tidak tepat yang mengakibatkan penjawat awam terbabit dipersalahkan 100 peratus.

Justeru, katanya, CUEPACS terpanggil menyatakan sokongan kepada penjawat awam itu yang dicerca dan dikeji netizen, sehingga membabitkan keluarga tanpa usul periksa.

“Keadaan ini sekiranya tidak dijernihkan boleh menjatuhkan moral dan semangat penjawat awam yang ternyata sudah berjuang bertungkus lumus mengawal dan mencegah COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, difahamkan keputusan kompaun itu dibuat dengan pembabitan dan persetujuan pelbagai ketua jabatan kerajaan, termasuk Ketua Kadi Daerah disebabkan terdapat kes positif COVID-19 membabitkan ahli kariah masjid terbabit.

Bagaimanapun, difahamkan pengesanan kontak sukar dilakukan kerana ramai jemaah tidak merekodkan kehadiran dalam buku atau mengimbas kod QR MySejahtera.

Pihak berkuasa kemudian mengeluarkan satu kompaun sahaja kepada jawatankuasa masjid sebagai pengajaran kepada masjid lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.