Sokongan rakyat kepada Perdana Menteri kekal tinggi

34

23 APR: Kajian pendapat umum dibuat oleh Merdeka Centre mendapati sokongan rakyat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal tinggi kerana disifatkan sebagai pemimpin yang membela nasib serta keperluan mereka secara berterusan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata sebanyak 67 peratus hasil kajian diperoleh Muhyiddin itu membuktikan majoriti rakyat sayang kepada pemimpin seperti beliau.

Malah, katanya, kajian menyaksikan rakyat menolak mereka yang hanya mahu meraih populariti politik untuk kepentingan peribadi.

“Peratusan sokongan adalah tinggi dalam kalangan orang Melayu (83 peratus) manakala bukan Melayu rendah sedikit.

“Saya melihat ini sebagai indikasi bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu mempertingkat usaha menerangkan kepada rakyat bukan Melayu mengenai langkah yang sudah dan akan diambil bagi memastikan kemakmuran negara dikongsi secara saksama dengan semua, tanpa mengira kaum serta agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Saiful berkata, tinjauan berkenaan juga mendapati 74 peratus pengundi memperakui bahawa PN sentiasa konsisten dalam usaha membantu rakyat, manakala 56 peratus merasakan kerajaan pimpinan Muhyiddin, mempunyai visi jelas berhubung cara untuk memulihkan negara.

“Secara umumnya, saya merasakan hasil tinjauan ini membuktikan bahawa apa diutamakan PN adalah betul, malah rakyat boleh melihat dengan jelas siapa yang mahu membela rakyat dan memperbaiki negara, siapa pula tidak sudah-sudah berpolitik serta menimbulkan polemik atas agenda politik tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, rakyat adalah hakim terbaik terhadap sesebuah kerajaan dan kini mereka sudah bersuara kerana mahukan pemimpin kompeten dan bersih seperti Muhyiddin yang agendanya hanya prihatin rakyat.

“Rakyat tidak mahu pemimpin rasuah, kleptokrat atau yang kerjanya menuntut jawatan, malah tidak habis-habis membantah kerajaan dan hanya tahu merungut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.