PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting bermula esok

89

23 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, Selangor bermula esok hingga 7 Mei.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 473 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 71 pelajar disahkan positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan kes di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah tersebut,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Lahad Datu, Sabah yang sepatutnya ditamatkan esok, dilanjutkan hingga 8 Mei berikutan berlaku peningkatan kes yang mendadak di kawasan itu.

Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Sarawak iaitu di Politeknik Mukah dan Rumah Panjang Jalan Bukut, Balingian di Mukah serta Kampung Muhibbah Raya, Tawau di Sabah turut dilanjutkan hingga 8 Mei.

Katanya, keputusan itu dilakukan setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

“Di Politeknik Mukah, sebanyak 1,703 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 241 kes positif COVID-19 dikesan, manakala di Rumah Panjang Jalan Bukut, Balingian, Mukah, 349 ujian saringan dilakukan dengan 96 kes positif dikesan.

“Di Kampung Muhibbah Raya pula, KKM telah melaksanakan 622 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 70 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Kampung Bukit Belacon, Segama, Lahad Datu, Sabah akan ditamatkan esok (24 April) seperti yang dijadualkan setelah berlaku penurunan kes aktif di lokaliti terbabit dan klusternya terkawal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.