Dua direman Disyaki Palsukan Laporan Kewangan Syarikat

26

23 APRIL : Dua individu dipercayai pengarah dan pengurus kewangan sebuah syarikat perunding audit dan perakaunan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya kerana disyaki dengan kes pemalsuan laporan kewangan tahunan beberapa syarikat yang dihantar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin memeritahkan kedua-dua suspek berkenaan direman selama empat hari mulai 23 April selepas mempertimbangkan permohonan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di bahagian siasatan Ibu Pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Kedua-dua suspek terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penyediaan laporan audit yang diubah suai bagi tujuan penyediaan dan pengisytiharan laporan kewangan palsu syarikat.

“Tujuan penyediaan laporan kewangan palsu itu adalah untuk menunjukkan syarikat terbabit mempunyai pendapatan dan keuntungan rendah bagi memastikan mereka dapat mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang dibayar mereka kepada LHDN setiap tahun,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam pada itu sumber berkata kedua-dua individu berkenaan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM kerana kesalahan menerima atau memberi rasuah.

Katanya, SPRM juga sudah melakukan serbuan ke beberapa syarikat dan merampas pelbagai dokumen penting termasuk laporan kewangan firma yang mempunyai kaitan kes berkenaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sumber berkata, SPRM juga masih menyiasat jumlah sebenar kerugian dialami negara dan nilai cukai pendapatan yang ditipu oleh syarikat terbabit.

“Kita sudah masuk ke beberapa syarikat dan merampas banyak dokumen penting berkaitan akaun diaudit syarikat bagi tahun 2018 dan 2019, namun SPRM belum dapat kenal pasti nilai sebenar cukai yang sudah dipalsukan mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.