Berbelanja guna wang palsu, seorang wanita ditahan reman

48

23 APRIL : Seorang wanita yang dikesan menggunakan wang palsu ketika membeli barangan di tapak ekspo Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan di tahan oleh sekumpulan peniaga di situ setelah menyedari wang yang digunakan wanita itu adalah wang palsu.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, wanita berusia 33 tahun itu telah membeli pakaian di tapak ekspo kira-kira pukul 10 malam.

“Suspek sebelum itu telah membeli pakaian berharga RM40 di sebuah gerai menggunakan sekeping wang kertas RM100 sebelum beredar.

“Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian, datang seorang peniaga lain bersama suspek ke gerai peniaga berkenaan dan meminta membuat pemeriksaan ke atas wang RM100 digunakan membeli pakaian.

“Dan hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas wang mendapati wang yang digunakan wanita itu adalah wang palsu,” ujarnya.

Chang Hook berkata, suspek kemudian ditahan peniaga ekspo berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Bandar Seri Jempol.

Tambahnya, siasatan polis mendapati suspek memiliki tiga keping wang kertas RM100 yang didakwa diterima hasil jualan telefon bimbitnya.

“Suspek turut mengakui menggunakan wang berkenaan bagi urusan membeli barang lain di tapak ekspo berkenaan dan sehubungan itu, suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.