Tun Arifin Dilantik Pengerusi Majlis Penasihat AIAC

45

22 APRIL : Kerajaan bersetuju melantik Ahli Majlis Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang berperanan menentukan strategi dan pelan tindakan bagi memperkukuhkan serta meningkatkan aktiviti-aktiviti pusat tersebut.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Majlis Penasihat itu juga akan berfungsi membantu Pengarah AIAC, Tan Sri Datuk Suriyadi Halim Omar.  

Menurut beliau, seramai 10 ahli telah dipilih yang mempunyai pelbagai kepakaran yang akan diketuai oleh Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang telah berkuatkuasa mulai 1 April lalu. 

“Mereka yang dilantik adalah Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun, Tan Sri Sulong Matjeraie, Datuk Dr. Prasad Sandosham  Abraham, Raja Datuk Ahmad  Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, Datuk Nitin Nadkarni;Dr. Wafi Nazrin bin Tan Sri Dr. Abdul Hamid dan Tan Swee Im. 

“Selain itu, kerajaan turut melantik pakar daripada luar negara iaitu  Prof. Doug Jones AO dari Australia, Dr. Hassan Arab (Emirates Arab Bersatu), Monica Feria Tinta (United Kingdom), Khawar Qureshi QC (United Kingdom) dan Vyapak Desai (India),” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan pelantikan Ahli Majlis Penasihat AIAC dari dalam dan luar negara ini dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas individu-individu berkenaan dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di negara masing-masing. 

“Dengan pelantikan ahli Majlis Penasihat AIAC ini saya berharap AIAC akan meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah institusi ADR dan pusat timbang tara yang unggul dan terkemuka di dunia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.