PAS Sedia Atur Pertemuan UMNO, BERSATU-Nik Zawawi

50

22 APRIL : Perselisihan faham antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak kembali kepada agenda Islam dengan meletak isu perpaduan ummah sebagai matlamat utama.

Ketua Dawan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perpaduan ummah menjadi agenda kedua selepas Nabi Muhammad s.a.w tiba di Madinah dengan menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin.

Menurut beliau, perkara pertama baginda lakukan selepas tiba di Madinah mendirikan masjid kemudian menyatukan umat Islam yang berpecah ketika itu.

“Begitu juga dalam situasi sekarang gabungan kekuatan kedua-dua parti terbabit penting demi kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Central, Pasir Puteh, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan banyak pihak kedudukan kuasa politik orang Melayu di negara ini akan terjejas pada PRU-15 berikutan kemelut yang timbul dalam kalangan parti-parti Melayu.

Justeru itu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) menegaskan pihaknya sedia mengaturkan pertemuan antara kedua-dua pihak bagi mencari titik persamaan yang boleh menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka sekarang.

“Tanpa mencari penyelesian ke arah penyatuan ummah kita bimbang akan menjejaskan kedudukan orang Melayu Islam di negara ini.

“Perpaduan ummah penting demi kepentingan orang Melayu termasuk membangun semula ekonomi.

“Sekarang jumlah orang Melayu di negara kita sebanyak 68 peratus tetapi hanya menguasai 16 peratus ekonomi berbanding 84 peratus kekayaan negara dimiliki kaum-kaum lain,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.