Nafas dilantik pemborong tunggal bekalan benih padi

119

22 APRIL : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menjadi pemborong tunggal sekali gus akan mengedarkan bekalan benih padi sah yang dibekalkan oleh 10 syarikat pembekal.

Nafas menerusi kenyataan memaklumkan  berdasarkan rekod terkini, sebanyak 595,035 beg pesanan benih padi varieti MR297 diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 321,689 beg telah dibekalkan oleh Nafas.

Nafas berkata, atas kekangan stok benih padi yang terhad di pasaran maka keperluan benih padi MR297 mengambil sedikit masa untuk disediakan.

“Nafas sememangnya mengambil berat dan mengikuti secara rapat masalah-masalah berkaitan isu pembekalan benih padi sah.

“Stok bagi pembekalan benih padi adalah mencukupi berdasarkan kesemua varieti benih yang ditawarkan di pasaran.

“Nafas mengambil pelbagai langkah yang wajar dalam memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik demi kebaikan para petani,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Nafas memberitahu pihaknya telah berbincang dengan kesemua syarikat pengeluar yang telah dilantik untuk memastikan benih yang dibekalkan adalah benih yang terjamin berkualiti dan yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian.

“Bagaimanapun, petani mempunyai hak untuk memulangkan semula benih padi yang diragui kualitinya dan menjadi tanggungjawab syarikat pengeluar untuk menggantikan benih tersebut dengan benih yang baharu,” katanya.

Selain itu, Nafas juga memandang serius tentang kelewatan pembekalan benih padi dan akan bertungkus-lumus menyelesaikan perkara tersebut.

Justeru, pertubuhan tersebut memohon semua pihak bersama-sama mencari alternatif terbaik dalam menyelesaikannya dengan mengambil kira pelbagai langkah dan cadangan untuk menggunapakai varieti benih yang lain seperti MR219 dan lain-lain sekiranya varieti MR297 habis di pasaran.

“Adalah menjadi hasrat Nafas untuk melihat perkara ini dapat ditangani secara berkesan dengan penglibatan semua pihak.

“Nafas terbuka untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada semua pihak dalam mencari penyelesaian terbaik bagi semua perkara demi kelangsungan industri padi dan beras negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pesawah di seluruh tanah air menggesa Nafas segera menyelesaikan isu kelewatan pengedaran benih padi sah yang kini mengganggu proses penanaman padi pada musim ini.

Pada masa sama, mereka tidak bersetuju sekiranya penggunaan benih padi ditukarkan kepada jenis MR219 bagi menyelesaikan isu kelewatan itu

Get real time updates directly on you device, subscribe now.