Ketiadaan Anwar ketika serah memorandum cetus tanda tanya

752

22 APRIL: Ketiadaan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beberapa pemimpin dan wakil parti pembangkang menyerahkan memorandum menuntut darurat ditamatkan di Istana Negara, kelmarin, mencetuskan tanda tanya apakah beliau sudah tidak sehaluan dalam isu menarik semula pengisytiharaan darurat.

Walaupun difahamkan beliau pulang ke kawasan Parlimennya di Port Dickson seperti dimaklumkan sumber terdekatnya, persoalan terus berlegar memandangkan penyerahan memorandum itu adalah isu penting yang sering ‘diperjuangkan’ parti pembangkang, terutama Anwar.

Ada pula ura-ura pihak tertentu yang mengatakan ketiadaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berpunca perang dingin antara beliau dengan Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kemungkinan benar tindakan Anwar untuk tidak menyertai penyerahan memorandum penamatan darurat itu, berpunca daripada kehadiran serta penglibatan Dr Mahathir.

Katanya, seperti diperhatikan umum, hubungan kedua-dua pemimpin itu sememangnya agak rengang dan seolah-olah tidak ada lagi kepercayaan antara mereka, terutama dalam aspek bekerjasama politik.

“Anwar sendiri ada memaklumkan secara terang-terangan bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri bagi PH sekiranya parti itu memenangani pilihan raya umum (PRU), justeru mungkin beliau merasakan jika ada apa-apa tindakan perlu dilaksanakan, beliau yang harus memimpinlah.

“Sekarang ini nampak macam Dr Mahathir yang mahu memimpin, termasuk dalam isu memorandum tuntutan penamatan darurat terbabit, jadi mungkin Anwar tidak turut serta kerana tidak mahu lagi dibayangi pemimpin itu dalam apa juga tindakan, selain tidak mahu dipergunakan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal.

Kelmarin, beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa mereka mewakili Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meminta perkenan baginda supaya perisytiharan darurat dilaksanakan pada Januari lalu, ditamatkan.

Mohd Izani berkata, kedua-dua pemimpin itu juga mempunyai platform parti berbeza, iaitu Anwar menerusi PH, manakala Dr Mahathir bergerak melalui konteks Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), justeru pastinya Anwar akan mendapatkan konsensus dan sokongan gabungannya , selain mungkin tidak strategik jika melakukan sesuatu bersama-sama Dr Mahathir kerana seolah-olah masih dibayangi Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

Ditanya mengenai kewajaran desakan supaya penamatan darurat itu dilaksanakan sebelum tamat tempoh sebenar, Mohd Izani berkata pastinya ‘tidak  molek’ diusulkan kerana bagi tindakan besar seperti itu, perlu membabitkan perbincangan semua parti dan pihak berkepentingan supaya memberi impak sebenar sebelum dikemukakan, bukan bersifat ‘kumpulan tertentu’.

Jelasnya, memandangkan situasi darurat memang mudah untuk menarik perhatian masyarakat kerana membabitkan  isu semasa, COVID-19, bila penamatan darurat itu diperjuangkan, semestinya sangat dekat dengan masyarakat, terutama dalam situasi kes semakin meningkat.

“Pembabitan Dr Mahathir dalam penyerahan itu pula, kelihatan seperti ini adalah agendanya, mungkin untuk menarik perhatian atau membuktikan beliau masih relevan dalam politik Malaysia.

“Kita nampak Dr Mahathir cuba mengambil kesempatanlah di atas perkembangan yang berlaku, tetapi saya kira tindakan beliau mungkin tidak begitu stategik kerana tidak membabitkan banyak pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata ketiadaan Anwar semasa penyerahan memorandum penamatan darurat itu berkemungkinan disebabkan pergeseran dan konflik antaranya dengan Dr Mahathir membabitkan banyak isu serta sudah tidak dapat diperbaiki.

Dalam soal penting seperti penyerahan memorandum itu, katanya, beliau menganggap sekiranyanya kedua-dua pemimpinan terbabit betul-betul mempunyai hubungan yang baik, sudah tentu Anwar akan mencari apa cara sekalipun untuk bersama-sama Dr Mahathir.

Bagaimanapun jelasnya, Anwar membuat keputusan sebaliknya kerana beliau sudah tidak mempercayai Dr Mahathir atas segala tindakan pemimpin itu yang tidak menunaikan janji dan dilihat seperti menghinanya berulang kali.

“Tindakan Anwar tidak ada pada hari penyerahan memorandum ini tidak mengejutkan kerana tiada alasan kukuh untuk beliau menyokong orang yang berkali-kali tidak menunaikan janji dan seorang-olah menghina beliau.

“Saya fikir Anwar punya maruah untuk dipertahankan, selain tidak mahu terus diperlekehkan Dr Mahathir yang memikirkan beliau sahaja pemimpin hebat untuk memimpin negara,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.