Tolak permusuhan, kukuh penyatuan ummah sempena Ramadan

27

 21 APRIL : Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh Umat Islam khususnya pejuang kebenaran dan pencinta perpaduan memanfaatkan kemuliaan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal soleh untuk sama-sama merebut ganjaran pahala berganda daripada Allah S.W.T.

Ketuanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata kemunculan pelbagai isu semasa di media sosial terutama berkaitan politik negara menyebabkan banyak masa dihabiskan untuk melayari serta melayani berita-berita atau kiriman-kiriman terutamanya yang boleh membawa kepada pertelingkahan, permusuhan dan kebencian.

Menurut beliau, keadaan ini tentu sekali tidak selari dengan kemuliaan dan keberkatan bulan Ramadan.

“Sehubungan itu, DUPP mengambil kesempatan untuk memperingatkan agar kita semua tidak merosakkan atau mengurangkan pahala Ibadah di bulan Ramadan dengan perlakuan dan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya.

“Khususnya kiriman-kiriman atau komen-komen negatif di media-media sosial yang dianggap sebagai remeh oleh sebahagian kita, sedangkan di sisi Allah S.W.T merupakan satu kesalahan besar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), menegaskan rakyat khususnya umat Islam perlu bersama berperanan ke arah penyatuan dan perpaduan ummah serta menolak sebarang anasir-anasir yang membawa kepada permusuhan di samping tetap istiqamah dengan ketekunan pengabdian kita kepada Allah.

“DUPP mengajak seluruh umat Islam untuk menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T atas kesempatan berada dalam Bulan Ramadan Al-Mubarak di samping kekuatan dan kesihatan untuk melaksanakan segala yang diperintahkanNya.

“Justeru, DUPP menyeru seluruh Umat Islam khususnya pejuang kebenaran dan pencinta perpaduan untuk memberikan sepenuh perhatian dalam memanfaatkan kemuliaan bulan ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.