Polis selamatkan 2 warga asing mangsa sindiket pelacuran

29

21 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pelacuran dalam talian dengan menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan di sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang pada Isnin lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, serbuan pada jam 11.35 malam itu dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Beliau berkata, dua lelaki yang ditahan itu berusia 36 dan 37 tahun, manakala wanita berkenaan berusia 31 tahun di samping polis turut menyelamatkan dua wanita warga asing yang dijadikan mangsa pelacuran sindiket terbabit.

“Seorang wanita warga asing yang dijadikan mangsa pelacuran oleh sindiket ini berjaya diselamatkan di sebuah hotel di kawasan bandar (Georgetown), manakala seorang lagi di sebuah kondominium di kawasan Batu Ferringhi.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu Rahimi memberitahu siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif mengiklankan gambar-gambar mangsa di laman sesawang untuk aktiviti pelacuran.

“Sindiket akan menetapkan masa dan jumlah bayaran, lalu menghantar mangsa kepada pelanggan ke destinasi yang dipersetujui.

“Mereka menyasarkan warga tempatan dan asing dengan mengaut keuntungan ribuan ringgit sebulan hasil daripada memperdagangkan manusia melalui aktiviti pelacuran tersebut,” katanya. 

Justeru itu, menerusi kenyataan sama beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan sindiket pelacuran selain aktiviti tersebut boleh meningkatkan risiko penularan pandemik COVID-19 secara tidak langsung.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.