Nash Lefthanded stabil, namun mengadu sakit belakang

50

21 APRIL:  Penyanyi rock lagenda, Datuk Nashrudin Elias atau dikenali sebagai Nash, 62, yang terbabit kemalangan di Kilometer 250.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, semalam kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menerusi hantaran video Persatuan Seniman Malaysia yang melawatnya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Nash yang juga merupakan vokalis kumpulan Lefthanded, bagaimanapun mengadu sakit di bahagian belakang hasil daripada kemalangan tersebut.

“Terima kasih semua yang datang ke hospital. Saya dalam keadaan yang stabil cuma ada jahit sikit di bibir dekat atas dan bawah. Selain itu ada cedera di siku.

“Saya juga ada sakit urat belakang saya, rasa macam tegang sangat, memang sakit sangat.

“Jadi, yang paling penting doakan untuk saya. Doa awak semua adalah doa mustajab. Doakan untuk saya, maaf zahir batin, doakan saya kuat dan selamat berpuasa,” kata Nash menerusi video itu yang dimuat naik melalui Facebook rasmi persatuan tersebut, hari ini. 

Dalam kejadian itu, Nash yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier bersama pemandunya berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kenderaannya itu dikatakan melanggar lopak air dan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya

Akibat kemalangan itu, Nash mengalami luka di muka dan sakit dada, manakala pemandunya hanya mengalami luka ringan dan penyanyi itu kemudian dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.