Azan maghrib awal, kariah Masjid Al-Khairiyah kena ganti puasa

126

21 APRIL: Pentadbiran Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, Kuala Lumpur, meminta kariahnya menggantikan puasa mereka yang terbatal berikutan masjid itu tersilap melaungkan azan maghrib tiga minit lebih awal daripada waktu sebenar, kelmarin.

Nazir Masjid Al-Khairiyah, Wan Nawawi Wan Dagang, berkata kesilapan itu berlaku akibat masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.

“Assalaamualaikum. Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin @ 7 Ramadhan 1442 @ 19 April 2021 disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.

“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan/puan terbatal pada hari berkenaan dan perlu diganti/diqadha’,” katanya menerusi kenyataan itu, semalam.

Katanya, kewajipan mengganti atau mengqadha itu adalah selaras pandangan jumhur ulama’ daripada kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

“Para jemaah boleh ikuti syarah hukum melalui siri Bayan Linnas Siri Ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017.

“Sekali lagi kami mohon maaf dan Insyaallah perkara sebegini tidak akan berlaku,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.